• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Generasi Kedua Felda Selasih Terima Geran Lagi

SETIU, 13 Mac - Seramai 10 orang generasi kedua warga Felda Selasih, Jabi  telah menerima geran hak milik tanah tapak rumah untuk fasa kedua setelah agihan fasa pertama disempurnakan pada Oktober, tahun lepas. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, dengan selesainya pengagihan fasa dua itu perjuangan untuk memastikan generasi kedua menerima geran hak milik bagi tapak rumah itu ternoktah.

"Tahniah semua penerima geran tanah tapak rumah generasi kedua Felda Selasih. Sebagaimana saya janjikan kepada warga felda, geran diagihkan melalui dua fasa.

"Hari ini 10 orang lagi telah menerimanya dalam fasa dua ini dengan jumlah keseluruhan 124 lot tanah. Tidak perlu majlis besar, yang penting matlamatnya sampai. Alhamdulillah, selesai satu babak penting dalam perjuangan membela nasib generasi kedua Felda,"ujarnya


 

Beliau berkata demikian dalam Majlis Agihan Geran Hak Milik Tanah Tapak Rumah Generasi Kedua di Felda Selasih, Jabi kelmarin.

Menurut beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) kini dalam proses untuk mengukur halus dan menanam batu sempadan tanah dalam tempoh terdekat.