• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Generasi Kini Perlu Hargai Sejarah Kemerdekaan - Zizan

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Selebriti popular tanah air, Zizan Razak menyatakan bahawa generasi muda pada masa kini perlu menghargai sejarah pejuang-pejuang terdahulu yang telah terkorban dan bersusah payah dalam menuntut kemerdekaan.

Untuk itu katanya, memiliki pengetahuan yang mendalam mengenai perkara berkenaan amat perlu dalam mewujudkan jiwa patriotik dan bangga dengan apa yang telah dikecapi hasil peninggalan orang terdahulu.

Orang terdahulu telah merintis jalan bagi memastikan negara tidak terus berada dalam taklukan penjajah.

"Bagi saya ia sangat penting untuk kita ambil tahu, jika tidak kita tidak akan tahu apa-apa dan tidak akan berbangga dengan apa yang kita telah ada sehingga kita tengok generasi kini banyak mempertahankan perkara negatif yang tidak  perlu mereka pertahankan.

"Walaupun benda itu jelas bertentangan dengan identiti bangsa, negara mahupun agama. Mereka tidak ambil kisah, mereka lebih kepada budaya luar seperti K-Pop, menonton filem-filem luar negara, menjadikan mereka tidak ambil peduli mengenai sejarah negara. 

"Apabila adanya sambutan kemerdekaan seperti ini, jadi secara tidak langsung mereka akan 'study' sejarah walaupun pada kali ini ia disambut dengan cara yang berbeza tidak sepertimana sebelum ini yang kita boleh tengok ada upacara perbarisan di Dataran Merdeka mahupun yang diadakan di peringkat negeri ini sendiri," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran langsung pada Majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan Yang Ke-64 tahun 2021 Peringkat Negeri Terengganu, di TV Darul Iman (TVDI), semalam.

Yang turut menampilkan, Daie Sejuta Ummah, Ustaz Azhar Idrus dan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah selaku moderator.

Mengulas lanjut, Zizan berkata generasi muda yang menjadi harapan negara sewajarnya mempertahankan apa yang telah dikecapi  ini sehingga ia boleh dibanggakan generasi seterusnya.

"Supaya tidak dijajah sebagaimana dahulu, apa jua nilai tradisi yang baik perlu dipertahankan. Apabila tidak ada pengetahuan mengenainya maka kita tidak akan sayangkan negara, bukan kita hendak biarkan ia berlalu begitu sahaja.

"Maka apa yang kita hendak ceritakan kepada anak-anak cucu kita pada masa akan datang?" katanya.

Mengenai ancaman pandemik yang berlaku pada ketika ini ,jelas Zizan merdeka pada tahun ini membawa pengertiannya yang tersendiri dimana semua rakyat mahu bebas daripada wabak berkenaan yang telah membelenggu kehidupan rakyat selama dua tahun.

"Perjuangan pada hari ini bukan lagi sebagaimana dahulu berperang dengan penjajah, tetapi kali ini berperang sekali lagi dengan perkara yang kita tidak nampak," ujarnya.

Mengenai sambutan kemerdekaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri , katanya peluang yang ditawarkan pada kali ini untuk bergandingan dengan Ustaz Azhar Idrus buat kali kedua sangat bermakna untuk dirinya.

"Sebelum ini pernah bergandingan bersama sehinggan 100,000 yang hadir di Shah Alam, tetapi apabila mendapat tawaran pada kali ini saya tidak mahu lepaskan peluang untuk berkongsi mengenai apa yang sangat memberi kesan dalam kehidupan saya. Juga mengambil peluang untuk bertanya bagi mendapatkan ilmu daripada ustaz," katanya.

Mengenai perkembangan terkini katanya, setelah terhalang daripada melakukan sebarang aktiviti seni fokusnya kini bertumpu kepada usaha melakukan amal kebajikan.

"Bagi saya sebagai pelawak, apa yang dikurniakan oleh Allah ini apabila masyarakat melihat saya mereka boleh senyum jadi saya hendak gunakan pada tempat yang betul.

"Apa yang mendorong saya melakukan 'charity' ini adalah apabila mengetahui telah mula ada anggota masyarakat yang membunuh diri. Jadi saya hendak turun bertemu mereka untuk menyampaikan mesej jangan merasa terlalu tertekan sampai hendak membuat keputusan yang silap," ujarnya.


Tag: