• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Gerbang Kerjaya Tawar 3,070 Peluang Pekerjaan

KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Program Gerbang Kerjaya sempena penganjuran Karnival Usahawan Terengganu (KUAT) 2022 yang bermula esok hingga Isnin depan menawarkan sebanyak 3,070 peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, tujuh syarikat akan terlibat dalam karnival itu dan lima daripadanya menawarkan 1,870 pekerjaan di negeri ini.

"Antara syarikat tersebut ialah Eastern Steel Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Mc Donald's, Encompass Industries Sdn Bhd, APTIV, MyBrush dan Samsung Electronics (M) Sdn Bhd.

"Kita harapkan ramai pencari kerja akan hadir sepanjang karnival itu berlangsung dan berjaya mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan dan kemahiran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN), Keempat Belas, di Wisma Darul Iman, pada semalam.

Katanya, selain peluang pekerjaan, karnival yang berlangsung di Dataran Drawbridge itu juga akan mengumpulkan lebih 100 usahawan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengunjung.

Beliau berkata karnival itu juga antara salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi membantu merancakkan kembali industri pelancongan di Terengganu dengan sasaran 30,000 pengunjung sepanjang ia berlangsung.

“Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk jualan kenderaan saji, seminar keusahawanan, ceramah agama, 'fun run', mini zoo, 'fun ride', program derma darah dan pertunjukan wau naga,” ujarnya.