• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Gerobok Rezeki Hotel Primula 'Hadiah' Kecil Buat Yang Memerlukan

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos -Prihatin terhadap masyarakat yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)dan kehilangan punca pendapatan mendorong Primula Beach Hotel mengambil inisiatif mewujudkan projek Gerobok Rezeki bagi membantu mereka mendapatkan barangan keperluan harian secara percuma.

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun, berkata ia bertujuan membantu mereka terutama ketua keluarga yang terputus atau kekurangan bekalan makanan keperluan harian untuk kelangsungan hidup.

Katanya, Gerobok Rezeki  beroperasi dengan menerima sejumlah barangan keperluan asas daripada warga kerja Primula Beach Hotel bermula 1 Ogos baru-baru ini.

"Seterusnya, pihak hotel mengumpulkan barangan tersebut dan mengagihkannya ke masjid-masjid dan surau-surau tertentu di sekitar  daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

"Kami juga tidak menetapkan had kapasiti barangan keperluan asas yang perlu disumbangkan dan ia terpulang kepada pihak masjid dan surau untuk menguruskannya," katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, antara barangan keperluan harian yang disediakan termasuklah beras, minyak masak, tepung gandum, gula, ikan sardin, mee segera dan lain-lain.

Jelasnya, pengagihan barangan keperluan asas itu dimulakan ke Surau Tahfiz Darul Ulama Marang, Masjid Jamek Kampung Paloh Kuala Terengganu dan Masjid Kampung Seberang Takir Kuala Nerus . 

Justeru itu katanya, beliau berharap program Primula Gerbok Rezeki  dapat membantu golongan yang tidak berkemampuan dan membuka peluang buat mereka yang ingin menghulurkan bantuan dengan cara yang mudah.