• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

GLC Terengganu Hulur Sumbangan Bantu Mangsa Banjir

KEMAMAN, 12 Januari – Seramai 150 orang kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan anak-anak syarikatnya menghulurkan bantuan kewangan bagi mengurangkan beban yang dihadapi mangsa banjir.

Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Inc, Suridah Supian berkata, selain Epic Berhad yang menyumbang dana sebanyak RM150,000, tenaga sukarelawan bagi mencuci rumah mangsa banjir turut digerakkan anak-anak syarikat lain.

“Di bawah pimpinan Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Terengganu Inc dan EPIC Berhad, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kami telah gerakkan kerja kebajikan sejak mulanya banjir.

"Antaranya seperti bantuan Kewangan oleh SATU sebanyak RM300,000 melalui Tabung Darul Iman.

"Tambah lagi, bantuan air mineral kepada kawasan terjejas, bekalan sumber air bersih dan air mineral oleh Syarikat Air Terengganu (SATU), serta penyerahan 500 pasang kasut but kepada anggota penyelamat dan sukarelawan semasa banjir di Teladas, November lalu.

“100 orang bersama-sama dengan EPIC Berhad turut dihantar membersihkan kawasan di sekitar Bandar Baru Bukit Mentok sejak semalam. Usaha ini dilihat dapat membawa kakitangan kami untuk dekat bersama masyarakat dan memahami keperitan mereka,” katanya.

 Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Jalan Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Strategik EPIC Berhad, Noor Tuah Jaafar.

Sementara itu, Noor Tuah berkata, pihaknya turut melaksanakan beberapa langkah lain seperti menyediakan tenaga pembersihan seramai 70 orang bersama jentera dan peralatan agar kesan banjir dapat dihapuskan dengan cepat. 

"Kolaborasi berterusan sentiasa diadakan dengan DUN Chukai sekiranya ada keperluan usaha bantuan banjir di kawasan lain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hanafiah Mat menyatakan, kira-kira RM100,000 telah dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan bagi lebih 1,000 buah rumah di Kemaman.

"Secara keseluruhan di Chukai, lebih 20 kawasan perumahan terdiri daripada hampir 2,000 rumah terjejas, pihak kami akan cuba sedaya upaya bermula dengan pembersihan 500 buah rumah pada hari ini

"Jutaan terima kasih kepada semua pihak sukarelawan GLC yang terlibat dalam usaha ini membersihkan Bandar Baru Bukit Mentok, Taman Seri Nilam, Pengkalan Pandan dan kawasan lain di sini,” katanya.

Prgram semalam disertai kakitangan Terengganu Inc, EPIC Berhad, SATU, TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu, Golden Pharos Berhad, TI Properties, Primula Beach Hotel dan Permai Hotel.