• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

GLC Terengganu Terima Pengiktirafan

KUALA TERENGGANU, 12 Julai – Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Inc menerima pengiktirafan daripada Kerajaan Persekutuan sebagai ‘Majikan Prihatin dengan Pengambilan 100 peratus Warga Tempatan’.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.

Katanya, ia bersempena hari kedua Karnival Kerjaya MYFutureJobs “Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2023”.

“Dalam menyokong agenda pembangunan modal insan negeri, Terengganu Inc percaya memperkasakan tenaga kerja tempatan dapat menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan komuniti di negeri ini.

“Terengganu Inc sebagai syarikat induk pelaburan strategik kerajaan negeri akan terus menggembleng tenaga dan sumber bersama-sama dengan sektor awam dan swasta," katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.

Tambah Burhanuddin, usaha ini bertujuan bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pekerjaan yang stabil dan pendapatan tetap selaras dengan slogan kami ‘Memanfaatkan Pelaburan Untuk Rakyat".

Mengulas lanjut mengenai Karnival Kesejahteraan Pekerjaan Negeri Terengganu, gerai pameran Kumpulan Terengganu Inc telah menerima ribuan pengunjung sepanjang tiga hari Karnival berlangsung.

"Karnival yang bermula pada 6 hingga 8 Julai itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) di KTCC Mall, Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.

“Dalam majlis penutup, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman turut melawat booth Terengganu Inc di sini,” ujarnya.

 


Tag: