• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

GLOWAQAF Sasar Dana RM125 Juta Bantu Komuniti Terengganu

KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Global Al-Quran Waqaf Projek (GLOWAQAF) sedang giat memperkenalkan projek bantuan dana dengan menyasarkan sejumlah RM125 juta bagi membantu individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur Amirah Izzati berkata ia juga termasuk bagi membantu institusi pendidikan seperti Maahad Tahfiz, Madrasah, Pondok dan rumah anak yatim yang selama ini hilang punca pendapatan sehingga terpaksa gulung tikar.

Katanya, Pertubuhan Kebajikan Ihsan Wanita Islam Malaysia (PERKIWISA) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat juga telah bergabung melancarkan inisiatif tersebut.

"Dalam masa yang sama projek ini juga turut berhasrat melahirkan daie al-Quran untuk menyebarkan ilmu mukjizat tersebut, di samping membantu komuniti di negeri ini dengan dana yang dikumpulkan.

"Kita hendak membantu maahad tahfiz, madrasah, pondok pengajian al-Quran yang terjejas dengan menawarkan dana merangkumi pembangunan, pensijilan, pengurusan dan pendidikan, kita mahu ilmu agama yang mereka miliki diiktiraf.

"Bermula dengan sijil, diploma sehinggalah PHD, silibus yang disediakan kita akan adakan kerjasama dengan beberapa universiti sama ada dalam dan luar negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian, pada sidang media bagi mengebahkan program berkenaan, di Duyong Marina & Resort, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahirhatim Solihotdin.

Mengulas lanjut, pihaknya juga sedia menawarkan kerjasama kepada mana-mana anak syarikat (GLC), koperasi, pertubuhan, perbadanan atau yayasan yang berupaya untuk menguruskan projek yang diadakan itu di negeri ini.

"Di samping bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang punca pendapatan kepada mereka yang layak dan berpotensi untuk menguruskan projek ini dengan potensi pendapatan di antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan" katanya.

Jelasnya, apa yang istimewa mengenai porgram berkenaan, setiap pewaqaf akan diberikan baucer percuma program yang bernilai RM8,999 walau hanya mewaqafkan satu naskah al-Quran.

"Segala sumbangan ini akan diserahkan sendiri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli parlimen di kawasan masing-masing. Semoga dengan usaha ini dapat membantu rakyat Terengganu dalam mendepani cabaran ini.

"Untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayarinya melalui media sosial dengan carian Glowaqaf di Facebool atau websitenya ialah waqaf.glowaqaf.my," ujarnya lagi.


Tag: