• 15 Okt 2024 | 12 Rabiul Akhir 1446

Gol Awal Buat TFC Gigit Jari

KUALA TERENGGANU, 28 September - Kesilapan pemain tengah, Marin Pilj yang hilang bola di luar kotak penalti membuat Terengganu FC gigit jari apabila tewas 0-1 kepada Selangor di sebentar tadi.

Dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin itu, Selangor mencipta jaringan seawal saat ke-28 selepas Marin gagal mengawal bola dengan baik.

Kelekaan pemain import Terengganu itu dimanfaatkan Ronnie Fernandez yang menerima hantaran daripada Yohandry Orozco.

Jaringan awal tersebut ternyata menyentak semangat pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner.

Skuad tuan rumah cuba mencari gol penyamaan dengan beberapa serangan ke kubu Selangor, namun ketumpulan jentera serangan menghampakan peminat sang Penyu.

Selangor yang memiliki kelebihan satu jaringan menerapkan strategi bertahan dan hanya menunggu untuk melakukan serangan balas.

Skuad Nidzam Jamil hampir menambah jaringan kedua selepas Marin sekali lagi hilang bola di kawasan tengah, namun pertahanan Terengganu berjaya mematahkan serangan balas itu.

Keputusan 0-1 memihak skuad merah kuning kekal hingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, Terengganu mengubah corak permainan dengan lebih banyak serangan ke bahagian pertahanan Selangor.

Selepas beberapa pertukaran Terengganu banyak memberikan masalah buat benteng pertahanan Selangor dan menguasai sepenuhnya perlawanan.

Kemasukkan Akram Mahinan menghidupkan bahagian tengah Terengganu dan menghasilkan beberapa serangan menarik, namun pemain pertahanan gergasi merah kekal berdisplin menafikannya.

Beberapa percubaan Terengganu pada babak kedua gagal membawa sebarang hasil sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Keputusan kekal 0-1 dengan Selangor berjaya membawa pulang tiga mata berharga ke Shah Alam.


Tag: