• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Gol Kipre Bikin Penyokong Terengganu 'Berpesta'

KUALA NERUS, 23 Julai - Dua gol jaringan penyerang kesayangan ramai, Tcheche Kipre membantu Terengganu Football Club (Terengganu FC) mengatasi Kuching City FC, 4-1 dalam aksi suku akhir Piala FA 2022, sebentar tadi.

Seawal minit pertama, Terengganu FC menggunakan kelebihan bermain di halaman sendiri dengan menggasak kubu Kuching City FC bertubi-tubi.

Meskipun tanpa kehadiran dua tonggak import iaitu Pape Diakite dan Habib Haroon, skuad kendalian Nafuzi Zain tampak mendominasi permainan dengan Argzim Redzovic mengetuai barisan pertahanan.

Pada minit ke-18, tuan rumah hampir dihadiahkan penalti setelah situasi kelam-kabut di hadapan gol pasukan pelawat.

Bagaimanapun, pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli membatalkan keputusan itu setelah merujuk pembantunya.

Gol pendahuluan Terengganu FC hadir dua minit kemudian selepas pemain yang mendapat gelaran 'Messi Ganu', Mohd Faiz Nasir menanduk hantaran lintang Azam Azmi Murad membolosi kawalan Mohd Iqbal Mohd Suhmi.

Sang Penyu terus menguasai perlawanan sementara 'Il Gatto' (The Cats) lebih banyak bertahan.

Anak-anak buah Irfan Bakti Abu Salim hanya berpeluang melakukan serangan pada minit ke-34 perlawanan.

Tiga minit sebelum tamat babak pertama, salah faham antara barisan pertahanan Terengganu FC menghadiahkan pelawat gol penyamaan apabila Amir Amri Salleh menyambar tandukan Wan Mohammad Faiz yang dibiarkan pertahanan dengan rembatan padu melepasi Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Separuh masa pertama berkesudahan dengan keputusan 1-1.

Bersambung babak kedua, Terengganu FC terus menggandakan serangan untuk jaringan kedua.

Kemasukan Kipre menggantikan Kpah Sherman pada minit ke-60 membuahkan hasil apabila penyerang kelahiran Ivory Coast itu meledak dua gol dalam tempoh enam minit bagi mengatasi lawan.

Jaringan pertamanya muncul pada minit ke-73 setelah menanduk deras hantaran Shitembi ke gawang lawan.

Kipre kembali menggegarkan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) apabila menggelecek penjaga gol lawan dalam situasi satu lawan satu untuk gol ketiga tuan rumah.

Penyerang lincah kebangsaan, Mohamad Faisal Abdul Halim turut mencetak nama sebagai penjaring gol dan melengkapkan kemenangan 4-1 Terengganu FC dengan rembatan leret pada minit ke-87 perlawanan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Terengganu FC bakal melayan kunjungan Selangor FC dalam aksi separuh akhir Piala FA pada 5 Ogos ini.

 

 

 


Tag: