• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

Golden Pharos Berhad Urus Hutan Kekal Simpan



Kerajaan negeri memberikan kepercayaan kepada Golden Pharos Berhad (GPB) untuk menguruskan konsesi pembalakan di Terenggganu bagi memastikan hasil kekayaaan sumber semulajadi hutan dapat dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata GPB bukan sahaja menguruskan konsesi pembalakan, malah juga menghasilkan produk papan di Kilang Bukit Besi dan di Bandar Chukai, Kemaman.

Katanya, syarikat sama milik kerajaan negeri itu turut  menguruskan sekitar 130,000 hektar konsesi hutan simpan secara lestari, agar hutan simpan ini boleh kekal untuk jangka masa yang panjang.

“Langkah itu melayakkan GPB mendapat pensijilan antarabangsa dari Forest Stewarship Council untuk Well-Managed Forest di mana satu-satunya entiti di Semenanjung Malaysia memperolehnya.

“Pensijilan ini mengesahkan bahawa  syarikat itu berjaya menguruskan konsesi hutan mengikut piawaian bertaraf Antarabangsa,”katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Golden Pharos Berhad dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam majlis itu  GPB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato’ Ahmad Nadzarudin  Abdul  Razak dan FRIM oleh Ketua Pengarahnya Dato’ Abd Latif Mohmod.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri  Dato’ Mohd Zubir Embong; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani; Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu, Dato' Muhammad Pehimi Yusof dan Pegawai Kewangan Negeri Dato’ A. Rahman Yahya.

MoU itu bertujuan  meningkatkan kerjasama berkaitan pembekalan bahan mentah seperti kayu bergergaji, khususnya bagi Program Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM (FRIM PCS).

Pada masa sama mampu meletakkan kerangka kerjasama bagi kedua-dua belah pihak, terutama dari segi pembekalan bahan mentah yang mencukupi dan berterusan, bagi industri perabot bumiputera dan penyelidikan berkaitan produk hasil hutan.


Tag: