• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Golden Pharos Serah RM400,000 Zakat Perniagaan

KUALA TERENGGANU, 19 Disember- Golden Pharos Berhad menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM400,000 kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

Zakat disampaikan Pengerusi Golden Pharos Berhad, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar
kepada Yang Dipertua Maidam, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail dalam satu majlis ringkas di Pejabat Maidam, hari ini.

Tengku Hassan berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak RM300,000 disumbangkan oleh anak syarikat iaitu Kumpulan Pengurusan kayu Kayan Trengganu Sdn Bhd dan Persama Timber Corporation Sdn Bhd (RM50,000) manakala bakinya oleh syarikat induk.

"Agihan zakat ini adalah daripada hasil pendapatan syarikat serta anak-anak syarikat dibawah Golden Pharos Berhad bagi tahun ini.

"Selain sebagai tanda sokongan kepada pihak Maidam, dengan penyerahan zakat ini kami di Golden Pharos Berhad percaya ianya dapat sedikit sebanyak membantu golongan asnaf dan fakir miskin mengekalkan dan meneruskan kelangsungan hidup mereka," ujarnya kepada pemberita selepas majlis penyerahan tersebut.

Sementara itu, Shaikh Harun berkata, pihaknya berbesar hati menerima zakat perniagaan daripada Golden Pahros Berhad yang menjadi antara organisasi wajib pada setiap tahun menjalankan tanggungjawab mereka bagi turut serta membantu golongan asnaf.

"Sehingga semalam, Maidam menerima RM186 juta bayaran zakat di seluruh Terengganu dengan bayaran tertinggi ialah dari kategori zakat pendapatan.

"Kita sasar kutipan zakat tahun ini ialah RM240 juta sebelum 31 Disember ini dan yakin jumlah itu akan tercapai kerana kebiasaannya akan ramai yang tampil membuat pembayaran zakat dalam minggu-minggu terakhir ini," ujarnya.