• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Golongan Bapa Di Terengganu Semakin Bertanggungjawab - Kajian

KUALA TERENGGANU, 22 Jun – Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Terengganu (LPPKN) menunjukkan golongan bapa di negeri semakin bertanggungjawab terhadap isteri dan keluarga dalam melaksanakan pelbagai tugasan rumah tangga semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya, Muhamad Noh Abdullah melaporkan, tinjauan ke atas 176 bapa memaparkan peningkatan peratusan dalam empat kategori yang mula dilaksanakan secara bersama oleh para suami (bapa) terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19.

“Antarannya kenaikan melebihi 70 peratus melibatkan tugasan rumah seperti mengemas, memasak dan mencuci pakaian, menjana dan urus kewangan keluarga, memastikan keperluan harian mencukupi serta memastikan pendidikan anak terjaga.

“Faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan ini mungkin disebabkan kurang kesibukan kerja dan lebih masa bersama keluarga, maka perasaan ingin bekerjasama dengan orang rumah itu timbul.

“Sementara itu 94 peratus mengatakan mereka (Ibu bapa) melaksanakan perkongsian maklumat dan informasi terkini berkaitan virus bersama keluarga, 92 peratus menjawab ibu bapa mengambil peranan memastikan ahli keluarga sentiasa patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa bersiaran langsung sempena sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2021 di TVDI, pagi tadi.

Sementara itu, Muhammad Noh menyifatkan golongan bapa dalam negeri juga semakin cakna tentang bahaya jangkitan dan kepentingan kesihatan melalui perbualan bersama ahli keluarga.

“Manakala 27 peratus bapa menyalurkan maklumat menerusi media sosial serta 26 peratus memperoleh maklumat berkaitan COVID-19 menerusi televisyen,” jelasnya.

Tambahnya, tinjauan ke atas kalangan bapa yang mempunyai anak berumur 3 hingga 24 tahun secara dalam talian selama lima (5) hari juga mendapati 49 peratus ketua keluarga mempunyai gaya ‘Authoritative Dolphine’ atau mendidik anak daripada kesilapan dan membaikinya.