• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Golongan Wanita Mesti Rebut Peluang Insentif, Bantuan Kerajaan

DUNGUN, 29 September - Golongan wanita mestilah merebut peluang pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Alias Harun berkata,  wanita muda dan ibu tunggal sewajarnya menyertai skim, insentif dan kursus-kursus yang disediakan oleh kerajaan menerusi agensi berkaitan.

"Sebagai contoh, di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) ada kelas jahitan yang disediakan, tetapi sambutan tidak menggalakkan, begitu juga kursus 'home manager', untuk jaga anak-anak, orang tua di rumah majikan juga dibuka permohonan kepada golongan wanita", katanya. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika berucap di dalam satu perjumpaan bersama Muslimat di Jalan Intan di sini baru-baru ini. 

Menurut Alias, Kerajaan Terengganu juga sentiasa proaktif untuk membantu rakyat menjadi usahawan berjaya. 

"Dengan menyediakan pinjaman-pinjaman untuk berniaga, antara agensi yang terlibat ialah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan YPKT, mohonlah, gunakan peluang yang disediakan kerajaan ini untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik, " katanya lagi. 

 

 


Tag: