• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Gotong Royong Pelihara Peninggalan 'Orang Hanyut Vietnam'

KUALA NERUS, 13 Oktober - Lebih 100 peserta menjayakan program gotong-royong bagi membersihkan Pulau Bidong dan memelihara khazanah peninggalan Orang Hanyut Vietnam (OHV).

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, terdapat khazanah dan peninggalan berharga yang perlu dijaga selain di sana kerana ia juga mampu menjadi tarikan kepada pengunjung.

Katanya, Muzium Negeri diberi tanggungjawab mengawasi dan menjaga warisan bersejarah di pulau itu yang pernah menjadi penempatan pelarian Vietnam pada suata masa dahulu.

"Kesedaran ini penting terutama bagi pelancong, mereka bukan sahaja berpeluang melihat pelbagai tinggalan rakyat Vietnam, malah boleh melakukan aktiviti selam untuk melihat kehidupan dalam laut yang terdapat di pulau itu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pejabat Pusat Khidmat (DUN) Seberang Takir di sini kelmarin.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah memaklumkan program itu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Pejabat Penyelaras DUN Seberang Takir dan Pejabat Penyelaras (DUN) Batu Rakit.

“Khazanah peninggalan Vietnam dan beberapa destinasi orang hanyut Vietnam patut dipelihara untuk generasi akan datang dan wajar dijadikan sebahagian pusat pelancongan sejarah bagi negeri Terengganu,” jelasnya

Beliau turut menghargai kerjasama  semua jabatan-jabatan dan pejabat penyelaras dalam menjayakan acara tersebut.

"Semoga tujuan murni ini berterusan dari semasa ke semasa supaya khazanah ini dipelihara dan menyemarakkan sektor pelancongan," jelasnya.


Tag: