• 24 Jul 2021 | 14 Zulhijah 1442

Gotong-royong Bersih Kubur Terbitkan Keinsafan

DUNGUN, 26 September - Aktiviti membersih kubur bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, bahkan mampu menerbitkan rasa keinsafan di kalangan umat Islam yang masih hidup.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Kerteh 4A, Mohd Norizan Othman berkata, atas rasa tanggungjawab Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menganjurkan program gotong-royong membersih kubur yang sekali gus berjaya menarik golongan muda untuk menyertai program ini.

"Di samping mereka (pemuda) dapat mengeratkan ukhuwah bersama masyarakat,  pada masa sama keterujaan dan terbit keinsafan sepanjang membersihkan kubur ini.

“Tugas ini menerbitkan kesedaran tinggi bahawa setiap yang hidup pasti akan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aktiviti Gotong-royong Membersih Kubur Tanah Perkuburan Felda Kerteh 4, hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS DUN Paka, Fauzan Ramli menggesa agar masyarakat meneruskan program sebegini pada masa-masa akan datang.

"Hari ini kita berganding bahu bersama MPKK, Jabatan Amal, agensi-agensi dan masyarakat menganjurkan program ini," ujarnya.

Fauzan berkata, program ini dapat mendidik jiwa untuk sentiasa berbakti dan menolong orang lain walau di mana-mana.

"Teruslah melakukan amal kebaikan sekalipun bukan waris mahupun saudara sendiri tanpa mengira tempat termasuk di tanah perkuburan," ujarnya.


Tag: