• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Guna Duit 'Gift' TikTok Beli Tudung Untuk Masyarakat

MARANG, 23 Februari - Seorang Tiktokers muda dari Marang dikenali sebagai Ratu Penyu tular apabila dia secara solo melakukan dakwah jalanan dengan mengagihkan tudung secara percuma yang dibeli menggunakan duit (gift) hasil video di TikTok.

Usaha itu yang disunting menjadi video berjaya menambat hati juri pertandingan video pendek Terengganu Hijab Day (THD) dan membolehkan dia terpilih sebagai johan pertandingan terbabit.

Ratu Penyu atau nama sebenarnya Hanim Sophia Mohd Sohor berkata, tudung yang dibelinya itu dibungkus cantik dengan menampalkan kata-kata hikmah berunsur dakwah dengan harapan agar mesej mengenai kepentingan berhijab dengan sempurna sampai kepada penerima.

"Sempena THD 2023, saya menjalankankan kempen sendiri antaranya kerana ingin gemakan lagi THD sepanjang Februari dengan insiatif diri saya sendiri. Walaupun THD merupakan program kerajaan negeri, saya sebagai rakyat juga turut tidak mahu ketinggalan untuk terlibat dengan kerja-kerja dakwah dan kebajikan ini.

"Saya mengambil kesempatan untuk menggunakan semua duit 'gift' hasil sepanjang saya berkreativiti di laman TikTok dengan mudah-mudahan saya mendapat ganjaran pahala yang berterusan termasuk follower saya. Ini juga tanda sokongan penuh saya terhadap program THD," katanya.

Dia berkata demikian selepas menerima hadiah di Sambutan THD 2023 di Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus, baru-baru ini.

Gadis yang baru berusia 25 tahun dan menetap di Kampung Kijing ini turut meluahkan perasaan terujanya dapat memenangi tempat pertama dalam penyertaannya sulung di Pertandingan Video Pendek THD sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500.

"Doakan saya agar lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk meneruskan dakwah terutama perihal aurat dan wanita. Jika memakai hijab menutupi dada membuat saya tidak hebat, maka daripada itu saya memilih untuk tidak hebat," katanya.

 


Tag: