• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Guna Helikopter Hantar Bantuan Makanan

KUALA TERENGGANU, 20 Disember - Bantuan makanan kepada mangsa banjir di mana-mana pusat pemindahan sementara (PPS) yang tidak boleh diakses dengan kenderaan biasa di Terengganu akan mula diagihkan menggunakan helikopter hari ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, langkah drastik itu perlu dilakukan segera untuk memastikan mangsa banjir di kawasan terjejas yang terputus bekalan makanan tidak kelaparan.

Menurutnya, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan telah berbincang dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu untuk menggunakan helikopter pasukan penyelamat tersebut bagi tujuan itu.

"Bantuan pertama akan dihantar ke beberapa PPS di sekitar daerah Besut hari ini dan ke daerah lain yang turut terjejas.

"Semua mangsa di 310 PPS seluruh Terengganu jangan bimbang, kita akan segerakan penghantaran bekalan makanan dan kelengkapan yang lain untuk mereka.

"Kalau tak boleh guna kenderaan darat, kita hantar dengan helikopter agar kebajikan semua mangsa dijaga," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata bagi mengulas isu tular tentang kekurangan bekalan makanandan kelengkapan lain di beberapa kawasan terutama di tiga daerah iaitu Besut, Setiu dan Hulu Terengganu.

Tambahnya, bencana yang berlaku sangat luar biasa kerana terjadi serentak di semua lapan daerah di negeri ini dan banyak laluan utama ditutup kepada semua jenis kenderaan setelah ditenggelami air dalam banjir buruk kali ini.

Sementara itu, beliau juga telah mengarahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri serta pimpinan komuniti setempat untuk menyegerakan bantuan terhadap aduan yang diterima.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya minta maaf terhadap kesulitan yang dialami oleh mangsa banjir di PPS yang terlibat walaupun persiapan rapi telah dilakukan  namun masih ada kes-kes terpencil kekurangan makanan dan keperluan lain berlaku di PPS yang terjejas," katanya.