• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Guna Jentera Angkut Penunggang Motor Terperangkap Banjir

KUALA NERUS, 28 Februari - Sekumpulan anak muda mendapat pujian ramai pihak selepas mereka menganggkut penunggang motosikal yang terperangkap banjir di jalan hadapan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menggunakan jentera berat.

Hasrat murni mereka itu memberi kelegaan penunggang motosikal terutamana yang bekerja sebagai penghantar makanan kerana secara tidak lansung ia membantu golongan terbabit untuk terus mencari rezeki.

Mewakili rakan-rakan, Abu Muhaimin Abu Bakar, 27, berkata pada awalnya dia bersama empat yang lain hanya sekadar melalui jalan berkenaan bagi meninjau kawasan yang dinaiki air.

Namun katanya, apabila melihat ada 'food rider' yang motornya mati kerana cuba mengharungi jalan dinaiki air, mereka terus membantu.

"Daripada situ tercetus niat kami untuk membantu pula penunggang-penunggang yang lain apabila kami melihat ramai antara mereka termasuk yang menjadi penghantar makanan bermotosikal.

"Tak lain tak bukan tujuan kami bagi meringankan beban dan untuk melancarkan perjalanan mereka mencari rezeki," ujarnya yang berasal dari mengabang Telipot ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPD), di sini, kelmarin

Mengulas lebih lanjut, katanya dia dan rakan-rakan merasa seronok kerana dapat berbakti kepada mereka yang berada dalam kesusahan.

"Ini merupakan kali pertama kami melakukan kerja ini, tanpa mewakili mana-mana pihak, apa yang dilakukan ini adalah secara sukarela.

"Insya-Allah di masa-masa akan datang jika berlaku keadaan begini, saya bersama rakan-rakan akan membantu. Insya-allah untuk hari ini kami akan membantu sehingga air surut, kalau hendak diikutkan telah surut, dalam jam tiga tadi air memang agak dalam diakibatkan hujan lebat tidak henti-henti," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Izat che Sabri, 26 bersama tiga rakannya yang lain pula secara sukarela membantu mengawal lalu lintas bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku disebabkan banyak kenderaan ringan cuba berpatah balik setelah menyedari laluan hadapan UMT itu dinaiki air.

"Saya asalnya bersama rakan-rakan melalui kawasan sini, lepas itu tengok kenderaan mula sesak, bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan, saya cuba berada di bulatan jalan ini dengan cuba memaklumkan kepada pengguna jalan.

"Di sini memang jalannya pada hari biasa selalu sibuk kerana sekarang ini telah menjadi laluan utama untuk orang ramai hendak ke bandar Kuala Terengganu terutamanya mereka yang hendak ke 'Drawbridge'. Tambahan pula kami semua dari kampung berdekatan sahaja.

"Kami lakukan ini secara suka-suka dalam masa yang sama secara tidak langsung telah dapat membantu orang ramai serta menyelamatkan mereka dari sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,"katanya.


Tag: