• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Guna Lori 'Orang Kampung' Agih Air Kepada Penduduk

SETIU, 4 Ogos - Pasukan Gerak Kerja Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit tidak ketinggalan membantu lebih 8,400 pengguna di kawasan itu dengan mengagihkan bekalan air bersih mengikut jadual yang ditetapkan.

Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya bersama 40 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta pertubuhan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) berpadu tenaga membantu penduduk setempat mengagihkan air.

Katanya, sebanyak enam lori milik orang kampung digerakkan bagi tujuan itu bermula seawal 8 pagi sehingga ke lewat malam.

"Sumber bekalan diambil daripada rumah penduduk yang mempunyai telaga, paip 'boring' dan air bukit. 

"Nyata apa yang dilaksanakan itu sedikit sebanyak mampu melegakan keresahan, kemarahan dan kebimbangan penduduk yang kini masih  berdepan dengan gangguan bekalan air. 

"Difahamkan gangguan bekalan air  kali ini dijangka memakan masa agak lama dan pihaknya akan meneruskan kerja amal itu sehingga keadaan kembali pulih, "katanya 

Menurutnya, kaedah agihan berpandukan skop kerja yang dirancang di mana  tangki setiap masjid dan surau perlu dipenuhkan terlebih dahulu.

"Kemudian agihan diteruskan ke empat kawasan perumahan, iaitu di Wakaf Tengah, Mengabang Lekor 1 dan 2 serta Perumahan Tanjung.

"Turut menumpukan kawasan kampung dengan menumpukan rumah Orang Kurang Upaya dan warga emas," jelasnya.

Mohd Shafizi berkata pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn Bhd ada menghantar bekalan tetapi masih tidak mencukupi.

"Disebabkan itu, pihak kami turun padang tanpa mengira waktu," katanya.


Tag: