• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Guna Renjatan Elektrik Tangkap Ikan, Mantan ADUN Dipanggil

KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Dato' Rozi Mamat akan dipanggil Jabatan Perikanan Negeri Terengganu kerana didakwa melakukan kesalahan menggunakan kaedah renjatan elektrik bagi menangkap ikan.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu berkenaan akan dipangil hari ini bagi memberikan keterangan berhubung perkara tersebut.

"Apabila menerima laporan berkaitan video yang tular tersebut pada 3 Julai, pihak jabatan telah mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan.

"Berikutan itu kita sedang melengkapkan siasatan dan Individu yang dikatakan terpapar dalam video berkenaan akan dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan kejadian tersebut, insya-Allah pada hari ini," ujarnya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, siasatan berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 3 Kaedah-kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu 1988.

"Iaitu penangkapan ikan dengan menggunakan peralatan terlarang antaranya termasuklah dengan menggunakan racun, bahan letupan dan perlatan-peralatan mekanikal atau elektrik.

"Jika disabit kesalahan hukuman yang dikenakan ialah denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," ujarnya lagi.