• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Guru Antivaksin Mungkin Ditukarkan Ke Sekolah Lain

DUNGUN, 3 Oktober - Seramai 2,000 guru di negara ini yang enggan menerima vaksin Covid-19  atau antivaksin berkemungkinan akan ditukarkan ke sekolah lain sama ada dalam atau luar negeri.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan guru terlibat tidak berinteraksi secara langsung dengan murid dan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

“Kita sedang melihat bagaimana nak bawa keluar guru ini dengan menukar mereka ke tempat lebih sesuai dan ini mungkin melibatkan pertukaran antara negeri.

“Jumlahnya kecil, tetapi apabila kita selidik ke tahap setiap sekolah, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarutan dan kita akan ambil tindakan segera.

“Pada peringkat awal, kita nasihatkan supaya mereka divaksin kerana mereka perlu berhadapan dengan murid,” katanya.

Radzi berkata, hasil data yang diperoleh, pihaknya mendapati terdapat sekolah-sekolah tertentu yang mana semua guru mengajar satu subjek sama tidak mahu divaksinkan.

“Jadi bagaimana kita nak teruskan pengajaran dan pembelajaran jika berada dalam konteks tersebut.

“Berkaitan tindakan lain, kita menunggu apakah keputusan JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) tentang pendekatan yang akan diambil daripada sudut perkhidmatan awam kepada guru-guru ini,” ujarnya.

 


Tag: