• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Guru Digalak Sertai YGMB Untuk bela Nasib Waris

KUALA TERENGGANU, 25 April - Para guru digalakkan menyertai Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) bagi membolehkan mereka menikmati pelbagai manfaat antaranya khairat kematian untuk membela nasib waris.

Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu Abdul Muie Ngah berkata, kebelakangan ini ramai individu termasuk guru meninggal dunia akibat pelbagai penyakit berbahaya seperti kanser.

"Saya sentiasa menyarankan guru di Terengganu agar mengambil berat tentang kesihatan dan kebajikan keluarga dan kalau boleh jadilah ahli YGMB," katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan khairat kematian YGMB di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Terengganu di sini, pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, sejak ditubuhkan pada 1994, pihaknya telah menyampaikan sumbangan berjumlah hampir RM25 juta kepada warga pendidik di seluruh negara.

"Setakat ini, kita ada 110,000 keahlian berdaftar terdiri daripada guru, anggota kumpulan pelaksana (AKP) dan pegawai Kementerian Pendidikan dan saya harap lebih ramai yang akan mendaftar dengan YGMB agar lebih ramai dapat menikmati manfaatnya.

"Selain menjaga kebajikan, YGMB juga sangat aktif mengadakan pelbagai aktiviti dengan pejabat pendidikan daerah, JPN dan KPM untuk membantu meningkatkan profesionalisme guru agar dapat berbakti dengan lebih cemerlang sepanjang perkhidmatan mereka," katanya.

Sementara itu, penerima khairat kematian Othman Mohamad, 50, berkata, sumbangan itu sangat bermakna setelah isterinya Norliza Hasan @ Alias yang merupakan guru di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin di sini, meninggal dunia akibat kanser paru-paru pada 3 November tahun lepas.

Othman yang bekerja sendiri berkata, sumbangan itu akan digunakan untuk keperluan serta pendidikan tiga anaknya yang terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki, berumur antara sembilan dan 16 tahun. - Bernama