• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Guru Pondok Terjejas Banjir Terima Bantuan RM15,000

SETIU, 12 Januari - Guru-guru di enam buah pondok yang terjejas ketika banjir baru-baru ini menjadi golongan sasar bagi menerima bantuan tunai 'one-off' daripada kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan RM15,000.

Bantuan itu membabitkan 15 guru iaitu dari Pondok Ad Diniah Al-Mansuriah Al-Muhammadiah, Pusat Pendidikan Al-Abrar (Pondok Menerong),Madrasah Ad-Diniah Az-Zakiah (Lubuk Periuk), Hulu Terengganu.

Manakala guru di Madrasah Darul Muhajirin dan Pondok Al-Madini, Kuala Terengganu serta satu Madrasah Ad-Diniah Al-Muhammadiah, Setiu turut menerima bantuan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif berkenaan dihulurkan bagi meringankan sedikit bebanan dialami oleh guru pondok yang selama ini berjasa dalam institusi masyarakat dalam melahirkan golongan agamawan.

"Ini merupakan sebahagian usaha yang kerajaan laksanakan, saya percaya masyarakat di luar juga sebenarnya ingin turut menghulurkan bantuan serta sumbangan.

"Terutamanya untuk membaik pulih dan membaiki kerosakan semua institusi pengajian pondok yang terlibat jadi saya menyeru kepada seluruh masyarakat atas dasar kebajikan untuk sama-sama berlumba melakukan kebaikan dengan cara masing-masing, agar sama-sama mendapat keberkatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas menyampaikan bantuan berkenaan di Madrasah Ad-Diniah Al-Muhammadiah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

Terdahulu, Dr Ahmad Samsuri merakamkan ucapan takziah kepada semua guru pondok serta tenaga pengajar yang terbabit dalam bencana berkenaan baru-baru ini.

"Pertemuan hari ini bukan untuk meraikan ujian melanda, tetapi menzahirkan komitmen serta usaha Kerajaan untuk menjaga seluruh rakyat.

"Menjadi ujian untuk kita semua untuk melihat kita (kerajaan) mampu mengurustadbir serta diharapkan ia mampu meningkatkan ketakwaan semua rakyat di negeri ini," katanya.


Tag: