• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Hadiah Gambar Jadi Kenangan Abadi

MARANG, 28 September - "Ini bukan sekadar hadiah, tetapi merupakan tanda kenangan yang akan saya abadikan dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

"Terima kasih Menteri Besar Terengganu di atas hadiah yang sangat bermakna ini dan kunjungan yang dilakukan tempoh hari," ucap Mazlan @ Alias Salleh, 72, yang merupakan bekas Imam di Masjid Rhu Muda.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria di rumahnya untuk menyampaikan hadiah gambar berserta bingkai yang ditempah khas.

Sementara itu, Sabri berkata, gambar ini dipilih oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai tanda kenang-kenangan yang dirakamkan ketika menziarahi bekas imam yang uzur itu di rumahnya beberapa bulan lalu.

"Gambar ini menggambarkan seribu makna buat dirinya dan beliau sendiri telah memilih gambar ini dengan menandatangani untuk diabadikan.

"Sebaik sahaja program ziarah Al-Mala' yang diadakan bagi menziarahi orang lama yang bertugas sebagai imam dan guru mengaji di sekitar Kampung Rhu Muda, salah satu gambar yang diambil ini telah menarik minatnya untuk dijadikan sebagai hadiah serta penghargaan kepada bekas imam ini," jelasnya.

Mazlan @ Alias Salleh telah berkhidmat sebagai Imam dan bilal di Masjid Rhu Muda selama hampir lebih 20 tahun dan merupakan orang lama di dalam Cawangan Pas Seberang Marang.

Terdahulu, Menteri Besar Terengganu telah menziarahinya yang kini uzur serta sakit tua di rumahnya bersama-sama isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.


Tag: