• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Hadiah Untuk Nelayan, Tempat Baiki Bot Siap Dibina

MARANG, 4 November - Kesukaran membaiki bot dalam kalangan nelayan di daerah ini akhirnya berjaya diatasi selepas 'mini slipway' di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang siap dibina.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, ‘mini slipway’ yang boleh menarik bot seberat sekitar 30 tan ke darat itu dibina dengan kos kira-kira RM460,000 dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Katanya, tempat membaiki bot berkenaan siap seperti yang dijadualkan sekali gus menyelesaikan masalah nelayan yang terpaksa menempuh perjalanan jauh sehingga ke daerah lain bagi tujuan itu.

"Saya melihat 'mini slipway' (tempat membaiki bot) ini boleh memenuhi keperluan nelayan kerana kerosakan kecil seperti kerosakan kipas yang memerlukan pembaikan selama beberapa hari, boleh dilakukan di 'mini slipway' seperti ini.

“Sebelum ini nelayan sekitar Marang terpaksa pergi ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu apabila bot mereka mengalami kerosakan yang akhirnya membuang masa, tenaga meningkatkan kos dan sebagainya.

“Maka tahun ini kerajaan negeri menghadiahkan dua keperluan yang sangat diperlukan nelayan Marang iaitu tempat membaiki bot ini dan bilik sejuk beku di jeti LKIM Marang dengan kapasiti simpanan kira-kira 10 tan ikan dan hasil laut dalam satu-satu masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek 'mini slipway' di Marang, semalam.

Katanya, diharapkan nelayan di kawasan Marang dapat manfaatkan sebaik mungkin dua kemudahan yang disediakan kerajaan negeri ini sekaligus berupaya mempertingkatkan lagi pengeluaran sektor perikanan negeri.
 


Tag: