• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Hajat Tak Sampai, Pasangan Kekasih Dicekup Skuad Amar

MARANG, 23 Oktober - Hajat sepasang kekasih menghabiskan hujung minggu bersama di Pulau Kapas tidak kesampaian apabila mereka dicekup Skuad‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ (Skuad Amar) Marang dengan kerjasama penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), awal pagi semalam.

Pasangan berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan dalam satu operasi pencegahan jenayah syariah di sebuah bilik resort di pulau berkenaan ketika pemeriksaan dari bilik ke bilik yang dilakukan penguatkuasa dan sukarelawan Skuad Amar.

Kedua-dua anak muda tersebut didakwa di bawah Seksyen 31 (a) (b)Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 yang boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Marang, Yusuf Abdul Hadi berkata, tangkapan tersebut merupakan sebahagian daripada pemantauan berkala yang dilakukan Skuad Amar dalam usaha mencegah gejala jenayah syariah disamping memberi kesedaran kepada masyarakat.

"Terima kasih kepada penguatkuasa JHEAT dalam membantu operasi malam ini dan kami sedia berkerjasama dengan pelbagai agensi selepas ini bagi membanteras perbuatan yang dilarang agama dalam masyarakat.

"Untuk makluman, Skuad Amar turun bukan sahaja bersama penguatkuasa dalam operasi pencegahan, tetapi juga turun menyebarkan risalah kesedaran kepada masyarakat bergantung kepada situasi dan masa terutama pada hujung minggu," katanya.

Penguatkuasa JHEAT sedang mengambil maklumat tertuduh.

 

 


Tag: