• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Hamparan Tawarkan Kediaman Mesra Syariah

KUALA TERENGGANU, 30 Mac- Projek perumahan di Batu Hampar yang dikenali sebagai Hamparan boleh dianggap antara projek penempatan terbaik yang ditawarkan P-Excell Management Sdn. Bhd. (PEM) berikutan menekankan konsep mesra syariah.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed berkata, PEM yang merupakan syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) akan membina 69 unit rumah teres satu tingkat di atas tanah berkeluasan 4.54 ekar.

Katanya, projek perumahan tersebut melibatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM17.5 juta yang mana anggaran harga jualan bermula RM250,000.

“Projek perumahan ini bukan sahaja menerapkan konsep mesra syariah iaitu seiring kehendak kerajaan negeri dalam Pelancaran Dasar Perumahan Baharu Terengganu yang telah dikuatkuasa pada 1 September yang lalu malah ia juga menerapkan konsep Kejiranan dan Keselamatan yang telah lama diamalkan di Pantai Barat. 

“Dengan kata lain, P-Excell tidak hanya menjual rumah tetapi juga menjual konsep kejiranan, malah rumah yang dibina juga diterapkan dengan rekabentuk bercirikan ‘moden tropika’ dan tidak hanya fokus kepada rumah semata-mata tetapi juga kepada seluruh kawasan perumahan tersebut samada daripada landskap, fasiliti seperti jalan dan taman, keselamatan serta pencahayaan jalan belakang juga diutamakan dan konsep ini dipercayai yang pertama di Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Logo Baru P-Excell Management Sdn. Bhd., Pelancaran Projek Batu Hampar Dan Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Bersama Mega Building System (MBS) di Paya Bunga Hotel, hari ini.

Katanya, Hamparan merupakan projek kedua PEM selepas Projek Desa Tok Jamal bagi tahun ini.

“Projek ini dijangka mendapat sambutan terutama penduduk tempatan malah telah menerima permohonan pembelian walaupun hebahan belum dibuat.

“Selain itu, projek ini juga akan merancakkan ekonomi setempat, dan ia juga sebagai memenuhi kehendak rakyat yang memerlukan kediaman,”ujarnya.

Tambah beliau, memandangkan kini kos bahan binaan yang meningkat dari masa ke semasa, maka bagi mengatasi masalah ini PEM telah bekerjasama dengan Mega Building System (MBS) iaitu syarikat yang mempunyai sistem pembinaan IBS dimana sistem dapat menjimatkan masa pembinaan dan seterusnya dapat mengawal kos dan harga bahan binaaan tersebut.

“Sehubungan dengan itu, PEM telah membuat persepakatan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mengunapakai kaedah ini untuk pembinaan projek perumahan di Batu Hampar ini.


“Projek dijangka dibina pada suku ketiga tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya suku pertama 2024,” katanya.