• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Hanafiah Agih 2,500 Daging Korban Untuk Penduduk Cukai

KEMAMAN, 5 Ogos - Sebanyak 2,500 bungkusan daging korban telah diagihkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat di kawasannya sempena program Qurban Perdana DUN Cukai.

Setiap bungkusan daging seberat 850 gram dengan empat ekor lembu sado dan dua ekor kerbau dikorbankan diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui kesemua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Cukai.

Menurut Hanafiah, besar harapan dan cita-cita Kerajaan Negeri Terengganu agar golongan fakir miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) dapat merasai kenikmatan daging korban sempena hadirnya Aidiladha.

"Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan program pada hari ini. Semoga ibadah korban yang disunatkan ke atas diri kita ini diterima oleh Allah SWT," katanya lagi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata demikian pada program tersebut di kawasan sembelihan lembu di Teluk Kalong, baru-baru ini.