• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Hanafiah, Sukarelawan Bersih Rumah Mangsa Banjir

KEMAMAN, 29 November – Hanafiah Mat bersama 200 sukarelawan daripada Pengurusan Kecemasan Bencana Khidmat Malaysia yang terdiri daripada Jabatan Amal Kemaman, Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman dan Pakat 4x4 turun padang membersihkan rumah mangsa banjir dan Tabika Kemas di Kampung Teladas, Air Putih di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu berkata, misi berkenaan turut melibatkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan (DUN) Air Putih, Pejabat Daerah Kemaman, Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Syarikat Air Terengganu (SATU) dan RELA.

“Mangsa yang terjejas dalam bah kali ini hampir 1,000 penduduk dan banyak rumah kotor kesan daripada banjir.

“Banjir yang kian surut di sini menyaksikan penduduk mula pulang ke rumah masing masing. Namun cabaran mereka kini adalah untuk membersihkan kediaman yang terjejas akibat bencana itu. Sehubungan itu kita mengambil inisiatif bagi meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui media semasa operasi pembersihan.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu menjelaskan, pihaknya akan mengagihkan makanan percuma ke setiap rumah mangsa banjir esok bagi meringankan beban mereka yang terlibat.

“Kita akan buat dapur bergerak, jadi setiap rumah saya akan sediakan nasi dalam lima hingga enam bungkus satu keluarga, mereka tak perlu masak tengah hari, insya-Allah,” katanya. 

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, beliau dimaklumkan hanya satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di seluruh Terengganu.

“Satu PPS di Marang, iaitu di SMK Merchang dengan melibatkan tiga keluarga atau lapan mangsa,” tambah beliau.


Tag: