• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Hanafiah Terima Anugerah Pangkat Kolonel Kehormat APM

KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dianugerahkan pangkat Kolonel Kehormat (PA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kelmarin.

Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata, beliau berbesar hati atas penganugerahan itu dan menyifatkannya sebagai pembakar semangat untuknya terus membantu masyarakat.

"Terima kasih Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan APM yang telah mengiktiraf diri saya untuk menerima anugerah ini.

"Lebih 30 tahun saya berkecimpung dengan rakyat atau masyarakat di negeri ini. Susah senang bersama mereka samada ketika banjir, tanah runtuh, ribut dan seumpamanya," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Tetap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu juga pernah melakukan misi bantuan sehingga ke luar negara seperti Sudan dan Kemboja.

"Semoga kita semua akan terus sama-sama berganding bahu bagi melindungi masyarakat awam daripada kesusahan dan sebarang bencana samada bencana alam atau bencana buatan manusia," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika selesai Majlis perjumpaan Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas bersama YAS Datuk Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Warga APM Terengganu di Camelia Grand Ball Room, Tingkat 7, Hotel Paya Bunga, di sini, kelmarin.

Dalam majlis berkenaan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mendahului penerimaan pangkat Pesuruhjaya Kehormat (PA).

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, dan Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.


Tag: