• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Hantar Al-Quran Rosak Ke JHEAT Untuk Dilupuskan

KUALA TERENGGANU, 6 Julai – Masyarakat Islam dinashatkan agar menghantar Al-Quran yang rosak kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memelihara kesuciannya terutamanya dalam proses pelupusan dengan penuh tertib.

Pesuruhjaya JHEAT, M. Rozi Bidin berkata, rakyat Terengganu boleh menghantar Al-Quran serta kitab ke mana-mana pejabat JHEAT bagi tujuan pelupusan.

“Sekiranya ada masyarakat yang rasa Al-Quran yang sudah tidak digunakan dan ingin dilupuskan, boleh hantar ke Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu dan kita akan laksanakan proses pembakaran di jabatan (JHEAT). 

“Jangan kita biarkan tanpa terjaga kerana kemuliaan Al-Quran ini perlu diurus sebaik mungkin,” katanya kepada pemberita dalam Program Pelupusan Kiub Abu Al-Quran Ke Laut Kali Ke 1/2022 bertempat di Jeti Kargo, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur, di sini hari ini.

Dalam program tersebut, sebanyak dua tan (2,000 kilogram) kiub abu Al-Quran dilupuskan menjadikan jumlah abu Al-Quran yang dilupuskan JHEAT sejak tahun 2012 adalah 29.4 tan dengan kerjasama Jabatan Laut Wilayah Timur.

Terdahulu, JHEAT turut melupuskan abu Al-Quran dengan cara penanaman di kawasan yang tidak berpenduduk sewaktu pandemik namun kembali melakukan pelupusan ke laut.

 “Kita tidak lagi menggunakan kaedah menanam abu Al-Quran kerana fatwa menggalakkan kita buang abu Al-Quran ini ke laut,” ujarnyanya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Laut Wilayah Timur, Abd. Majid Rais serta Timbalan Pengarah (Penerangan) Operasi Urus Setia Penerangan Darul Iman, Sazali Mohd Noor.

 


Tag: