• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Harap Terima Baki Royalti Bulan Ini - MB Terengganu


Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Kerajaan negeri berharap bayaran baki jumlah royalti minyak yang masih tertunggak dapat diselesaikan kerajaan pusat sebelum akhir bulan ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun ianya adalah jumlah royalti tahun lalu namun bayarannya masih boleh dibuat tahun ini.

"Kita harap pembayaran itu dapat diselesaikan dalam Januari ini.

"Harapan kita sangat tinggi bukan sahaja di pihak kerajaan negeri malah rakyat Terengganu sendiri," katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini yang mengatakan baki royalti minyak untuk Terengganu hanya akan disalurkan apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempunyai sumber kewangan secukupnya.

Malah Tun M turut berkata, kerajaan juga tidak mensasarkan tempoh bagi pembayaran untuk baki royalti yang masih tertunggak itu.

Ditanya butiran pertemuan bersama Perdana Menteri di Putrajaya baru-baru ini, katanya isu mengenai bayaran royalti Terengganu ada dibincangkan bersama.

“Dalam pertemuan tersebut, perkara itu (baki royalti) sudah dibincangkan namun kerajaan negeri masih menunggu butiran lanjut berkenaan mengenainya,” ujarnya.


Tag: