• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Harga Kit Ujian Kendiri COVID-19 Dijangka Lebih Murah

HULU TERENGGANU, 25 September- Kementerian  Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengadakan perjumpaan dengan wakil beberapa persatuan pengusaha farmasi bagi menurunkan harga kit ujian kendiri COVID-19 menjelang akhir bulan ini.

Timbalan Menteri, Dato' Rosol Wahid berkata, seperti yang dihasratkan kerajaan, harga kit ujian tersebut akan diturunkan lebih murah menjelang akhir bulan ini dan pengumuman harga terbaharu itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Katanya, ia juga untuk memudahkan ibu bapa membuat ujian saringan sebelum anak mereka memulakan sesi persekolahan pada 3 Okt depan.

"Penjualannya juga tidak hanya terhad di farmasi dan klinik seperti sekarang sebaliknya akan diperluaskan ke premis perniagaan yang lain seperti pasar raya besar dan pasar mini.

"Ini akan memudahkan rakyat kerana bukan sahaja harganya lebih murah tapi ia juga mudah untuk didapati. Walaupun penurunan harga itu belum dimuktamadkan lagi, namun jumlahnya nanti mampu dimiliki dan tidak membebankan rakyat berbanding harga sekarang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses vaksinasi 327 Orang Asli di Kampung Sungai Berua di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Dato' Dr Kasemani Embong.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu berkata walaupun harga sekarang sudah murah tetapi agak membebankan ibu bapa terutama yang anak mereka masih ramai bersekolah.

"Kalau ada lebih lima orang anak, harga kit ujian kendiri yang perlu dibeli sudah mencecah RM100..harga baharu ini nanti tidak akan membebankan lagi dan yang penting buat ujian untuk pastikan  anak sihat sebelum kembali ke sekolah," katanya.

Bermula 5 September lepas, KPDNHEP menetapkan harga runcit maksimum bagi setiap set kit ujian kendiri COVID-19 pada harga RM19.90 manakala harga borong pula ditetapkan RM16.