• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Harga Makanan : 'Peniaga Bazar Jangan Ambil Kesempatan'

KUALA NERUS, 27 Mac - Peniaga di bazar Ramadan dinasihatkan tidak mengambil kesempatan dengan menjual juadah pada harga yang tinggi dan tidak munasabah. 

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro & Hal Ehwal Pengguna Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan harga makanan di bazar Ramadan tahun ini misalnya kuih-muih dan nasi naik disebabkan beberapa faktor seperti kos tapak dan bahan mentah.

Katanya, kenaikan itu juga tidak dapat dielakkan jika krisis Rusia dan Ukraine berlarutan.

“Rusia dan Ukraine adalah pengeluar gandum terbesar dunia. Tentunya keadaan ini memberi implikasi kepada peniaga kuih dan roti misalnya.

"Walau bagaimanapun, beliau mengingatkan peniaga di bazar-bazar Ramadan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga makanan terlalu tinggi bagi mengelakkan pengguna terus terbeban.

“Orang ramai boleh terus melaporkan jika ada harga jualan yang agak melampau kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan pihak penguatkuasa akan turun ke lokasi dalam masa terdekat," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan Terengganu (KUAT) 2022 di Dataran Foodtruck, Drawbridge, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Terdahulu, menjelang Ramadan awal bulan depan, peniaga di beberapa negeri di Malaysia dijangka terpaksa menaikkan harga juadah yang dijual di bazar bagi menampung modal harga bahan mentah yang terus melambung.