• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Harga Pajakan Telur Penyu Akan Dibincang Semula

KUALA TERENGGANU, 10 Jun- Jabatan Perikanan Negeri Terengganu akan mengadakan perbincangan semula untuk menetapkan harga pajakan yang sesuai bag membeli telur penyu dalam usaha memelihara spesies berkenaan daripada mengalami kepupusan.

Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, pihaknya telah mengambil maklum rungutan daripada seluruh pemajak telur haiwan berkenaan terhadap harga yang ditawarkan pihaknya sebelum ini iaitu RM1.50 bagi setiap biji.

"Jadi kita akan bincangkan semula dan bertemu dengan pemajak serta akan melibatkan tujuh rakan strategik yang bersama dengan kita untuk membeli telur-telur ini iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Lang Tengah Turtle Watch , World Wide Fund (WWF), Fuze Ecoteer, Kapas Community , Bubble Dive, Terengganu Silica yang bersama-sama kita membantu dalam memperolehi telur penyu ini.

"Mengenai harga siling itu nanti kita akan maklumkan setelah melakukan perbincangan secara teliti, yang mana usaha ini kita harapkan dapat memelihara spesies penyu ini yang mengalami ancaman kepupusan," ujarnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Program Kesedaran Penyu Terengganu 'Cakna Penyu' yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, di Galeri Jambatan Angkat , di sini, pada semalam.

Mengulas lanjut katanya, daripada 34 pantai pemajakan telur penyu, 19 daripadanya telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri.

"Kita ada lagi lebihan pantai,  yang kita lihat berpotensi untuk mengajak seramai mungkin mana-mana pihak untuk bersama kita bagi membeli telur di kawasan-kawasan ini, kita mengharapkan agar penglibatan ramai pihak NGO akan turut menjadi suatu daya tarikan kepada sektor pelancongan di negeri ini melalui aktiviti pemeliharaan yang sedang kita jalankan.

"Mengenai pengharaman untuk menjual dan memiliki telur penyu ini yang bermula 1 Jun lalu telah diketahui oleh seluruh rakyat melalui mesej yang kita sampaikan," katanya lagi.