• 11 Mei 2024 | 3 Zulkaedah 1445

Hargai, Hormati Guru Jadi Asas Kecemerlangan Pelajar

KUALA NERUS, 19 Mei - Guru yang menjadi tunjang dan asas kepada kemenjadian murid pastinya mampu membangunkan sekolah yang sejahtera, harmoni, dan berjaya dalam situasi pendidikan kini yang penuh cabaran dan segala kemungkinan. 

Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata oleh itu khidmat bakti guru-guru dalam mendidik dan mengajar anak bangsa bukanlah suatu yang boleh dinilai dengan wang ringgit.

Katanya, keikhlasan usaha, budi dan bakti mereka tanpa mengenal erti penat dan lelah perlu dihargai dan dihormati oleh semua pihak.

“Dunia pendidikan kini yang semakin rencam menyebabkan para guru berhadapan dengan pelbagai kerenah para pelajar, ibu bapa, masyarakat malah rakan sekerja juga.

“Saya yakin dan percaya insan yang bergelar pendidik merupakan seorang yang profesional mampu menangani sebarang masalah yang melanda.

“Ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Ungkapan menarik ini perlu dijadikan pegangan ke arah melahirkan generasi minda kelas pertama yang diidam-idamkan kerana kemenjadian murid bergantung pada komitmen tinggi para guru yang menjadi tunjang kepada pendidikan negara,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan  Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2022 di Dewan Besar Hotel Raia di sini hari ini.

Tambah beliau, guru yang berperanan sebagai pendidik (mudarris), penyampai yang benar (mualim), murabbi (pengasuh dan pendidik dengan kasih sayang, muaddib (pembentuk adab dan akhlak) dan mursyid (pembimbing ke arah kebaikan) mampu menjadi tunjang yang kuat untuk menghadapi segala cabaran ketika ini.

“Pendidikan bukan sahaja mampu menjadi alat yang berkesan mengeluarkan anak-anak kita daripada kepompong kemiskinan, tetapi juga berupaya melestarikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju dan dikenali,” ujarnya.