• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hari Arafah Bangkitkan Kekuatan Umat Islam

KUALA NERUS, 7 Julai – Sambutan Hari Arafah  mengembalikan semula kekuatan dan kegemilangan umat Islam pada masa kini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Yahaya Ali berkata, golongan Orientalis mengkaji bahawa kekuatan umat Islam itu adalah dalam ibadah haji yang berpusat di Arafah kerana perhimpunan di Arafah itu adalah sebuah perhimpunan terbesar umat manusia.

“Umat Islam berkumpul pada hari tersebut daripada pelbagai peringkat dan latar belakang dari seluruh pelusuk dunia yang terdiri daripada kalangan pemimpin-pemimpin politik, gerakan Islam, golongan professional dan sebagainya.

“Mereka bertemu dan bertukar fikiran tentang bagaimana untuk memperjuangkan nasib umat Islam pada masa kini,” jelasnya semasa merasmikan Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu bertempat di Dewan Perdana, Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.

Tambah Yahaya, perhimpunan umat Islam di Arafah juga mengingatkan kita akan satu perhimpunan perdana yang akan kita tempuhi suatu hari nanti iaitu perhimpunan seluruh umat manusia di padang mahsyar.

“Seharusnya pada hari Arafah ini memberikan keinsafan kepada kita semua untuk bermuhasabah diri sebelum kita dipanggil oleh Allah S.W.T kelak,” ujarnya.


Tag: