• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hari Eksport Platform Lahirkan Usahawan Pengeksport

KUALA TERENGGANU, 25 September- Hari Eksport Terengganu 2023 yang berakhir hari ini di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) merupakan platform bagi melahirkan lebih ramai usahawan pengeksport khususnya di peringkat Negeri Terengganu.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport) MATRADE, Sharimahton Mat Saleh berkata, dalam usaha meningkatkan perdagangan antarabangsa, program tersebut menyediakan maklumat asas berkaitan ekosistem eksport serta pendedahan terhadap khidmat sokongan yang disediakan oleh kerajaan khusus untuk para usahawan yang terlibat dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

“MATRADE berharap usahawan di Terengganu yang berminat untuk meneroka pasaran antarabangsa akan memanfaatkan program ini untuk meraih sebanyak mungkin ilmu pengetahuan berkaitan eksport dan seterusnya mengambil langkah-langkah awal untuk mula mengeksport,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Eksport Terengganu 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman di TTC, semalam.

Menurut Sharimahton, program anjuran MATRADE dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) itu berjaya mengumpulkan komuniti perniagaan, terutamanya para usahawan tempatan untuk berkongsi pengetahuan, menjalin hubungan perniagaan serta meneroka peluang pasaran eksport. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Mohd Rashdan Muda dalam satu kenyataan berkata, selain daripada menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah sebagai usaha membantu meningkatkan keupayaan usahawan Terengganu, YPU juga menyediakan pelbagai peluang kepada para usahawan untuk memperluaskan perniagaan dan melengkapi mereka dengan ilmu keusahawan yang komprehensif melalui pelbagai program serta modul yang tersedia.

“Diharapkan bagi mereka yang ingin menceburi pasaran eksport dapat menyertai program ini serta berhubung dengan Bahagian Pembangunan Usahawan kami.

“YPU juga berharap akan menjadi ‘one-stop centre’ bagi usahawan-usahawan Terengganu sama ada usahawan mikro, kecil atau sederhana mahupun usahawan yang telah diiktiraf di peringkat global,”jelasnya.

Para peserta Hari Eksport Terengganu didedahkan dengan pelbagai informasi penting seperti penyediaan dokumentasi eksport dan keperluan logistik, aktiviti promosi serta solusi eksport efektif yang disediakan oleh MATRADE seperti program eTrade, MATRADE Digital Trade Platform (MDTP), MyExport dan MATRADE Digital Learning (MDL) bagi mendedahkan mereka kepada strategi pemasaran digital yang berkesan untuk memperluaskan jangkauan eksport.

Antara pengisian menarik yang dikongsikan semasa Hari Eksport Terengganu termasuk juga sesi mengenali kemudahan pembiayaan dan insurans eksport yang akan membimbing peserta mengenai rakan perbankan yang bersesuaian dan kepentingan jaminan insurans untuk perniagaan eksport.