• 18 Mei 2024 | 10 Zulkaedah 1445

Hari Kebangsaan Serlah Kesepakatan Kaum Di Terengganu


Aina (kiri), Preti (tengah), Dao Xien (kanan).
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Sambutan Kemerdekaan ke-62 Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, hari ini berjaya menyerlahkan kesepakatan antara Melayu, Cina dan India di negeri berkenaan.

Gabungan tiga kaum itu menobatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin selaku juara perarakan bagi kategori Pancaragam.

Guru pengiring, Chua Chia Shing berkata, kemenangan tahun ini adalah yang paling bermakna walaupun sudah beberapa kali menyertai dan memenangi pertandingan itu.

“Tahun-tahun sebelum ini kami menjadi johan kecuali tahun lepas, jadi kemenangan (tahun) ini adalah kebangkitan bagi kami (dengan gabungan pelbagai kaum).

Pancaragam Swadaya SMK Chung Hwa Wei Sin

“Sambutan tahun ini lebih meriah, dengan kehadiran penonton yang sangat ramai dan penyertaan pasukan bertanding pun bertambah berbanding tahun-tahun lepas,” ujarnya ketika ditemui media selepas program tersebut.

Mengulas lanjut, Chia Shing menjelaskan masalah perpaduan tidak pernah timbul di Terengganu, bahkan beliau terasa sangat terharu dengan layanan baik kaum lain di negeri berkenaan.

Sementara itu, menurut Setiausaha Pasukan Pancaragam sekolah terbabit, Aina Najad Ramli, latihan selama dua bulan bagi menghadapi pertandingan itu ternyata berbaloi setelah menjadi johan pada hari ini.

“Walaupun bersekolah dan bergaul dengan orang yang berbeza agama serta kaum, pasukan kami berjaya membuktikan bahawa perbezaan itu bukanlah menjadi penghalang kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, alumni sekolah terbabit, Preti Kaul Gill a/p Jagjit Singh Gill yang turut hadir memberikan tunjuk ajar dan sokongan sangat berbangga dengan kemenangan tersebut.

“Dalam pasukan ini walaupun bercampur agama dan kaum, kami langsung tidak merasa kekok, kami satu keluarga, dan itu yang menguatkan kami,” tambahnya.


SMK Chung Hwa Wei Sin muncul sebagai juara dalam kategori Pancaragam selepas menewaskan dua lagi pencabar daripada SMK Tengku Bariah serta SMK Lembah Bidong yang masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM4,000 beserta piala pusingan.




Tag: