• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Hari Paling Bersejarah Buat 543 Peneroka Felda Neram

KEMAMAN, 13 Jun - Hari bersejarah terlakar apabila penantian selama 35 tahun, buat  543 peneroka dari Felda Neram Dua peringkat 1, 2 dan 3 di Mukim Bandi dan Hulu Jabor, akhirnya diberikan hak milik tanah diusahakan selama ini.

Penyerahan itu disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Dewan Semai Bakti, Bandar Baru Cheneh di sini pagi tadi.

Baki 325 pemohon dari felda terbabit akan menerima hak milik dalam agihan kedua selepas ini.

Ahmad Samsuri berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 19 Januari 2022 telah meluluskan permohonan untuk mengeluarkan surat hak milik bagi tapak pertanian kelapa sawit dan bangunan.

“Sebelum diluluskan saya percaya banyak pengorbanan yang telah ditunjukkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pejabat tanah, pejabat daerah dan rakan-rakan daripada Felda.

“Usaha ini semua demi nak memastikan wajah-wajah di hadapan saya boleh memegang satu kertas yang dinamakan sebagai hak milik tuan-tuan semua.

"Hak milik yang diterima sangat bermakna buat peneroka yang sebelum ini bertungkus lumus membanting tulang empat kerat dalam meniti kehidupan sebagai peneroka Felda," katanya.

Menurut Ahmad Samsuri, pemohon yang belum menerima hak milik diharap bersabar kerana majlis penyerahan akan dilakukan selepas ini.

“Hari ini hanya sebahagian peneroka dahulu yang akan terima hak milik masing-masing selebihnya dimaklumkan bahawa Pejabat Tanah Kemaman memerlukan beberapa lagi proses seperti dokumen-dokumen perintah mahkamah.

“Ini berikutan apabila generasi pertama yang mengusahakan sudah tiada, pihak berkuasa memerlukan pengesahan daripada kepada A kepada B, tuan-tuan dan puan-puan yang mengusahakan tanah di sini insya-Allah akan dapat milikan, ini komitmen kami,” jelasnya.

 


Tag: