• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hari Penyu Sedunia : Tabung Amanah Penyu Berjaya Kumpul RM53,057

DUNGUN, 17 Jun - Tabung Amanah Penyu Terengganu berjaya mengumpulkan sebanyak RM53,057 dalam tempoh sebulan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata pelancaran Tabung Amanah Penyu tersebut bersempena dengan Hari Penyu Sedunia pada tanggal 16 Jun 2023.

Katanya, pelbagai pihak yang terlibat seperti syarikat dan agensi korporat serta orang perseorangan dalam membantu usaha murni tersebut.

“Antara penyumbang terbanyak adalah ‘The Taaras Beach & Resort’ dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang masing-masing menyumbang sebanyak RM30,000 dan RM10,000.

“Beberapa anak syarikat Terengganu (GLC) juga turut serta dalam menghulurkan sumbangan seperti Terengganu Incorporated, Primula Beach Resort, Hotel Paya Bunga dan Duyong Marina Resort.

"Diharap usaha ini mampu menjadi titik permulaan kepada semua pihak, dalam memastikan kejayaan kempen penggalakan penyu Terengganu," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian program Kempen Penggalakan Terengganu Turtle Tourism Peringkat Negeri Terengganu Sempena Hari Sambutan Penyu Sedunia Tahun 2023 bertempat di Dataran Rantau Abang, Dungun di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria dan Presiden Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

Tambah Bijaya Raja, program ini melalui usaha sama Jabatan Perikanan Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu dan pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Beliau berkata, usaha ini bertujuan bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemuliharaan dan pemeliharaan penyu.

"Antara lain, adalah bagi meningkatkan jumlah sumbangan Tabung Amanah Pemuliharaan Penyu Terengganu (TAPPT) di bawah Enakmen Penyu 1951 (Pindaan 2021) khususnya daripada sektor korporat dan orang perseorangan.

"Kita mahu lebih ramai individu sedar dan peka terhadap usaha ini yang perlu digerakkan secara bersama bagi melestarikan produk pelancongan penyu di negeri ini," ujarnya.

 

 

 


Tag: