• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Hariff Saleh Juara TSS Criterium Challenge 2021

KUALA NERUS, 23 Oktober - "Kemenangan hari ini memberi saya lebih semangat dan keyakinan dalam mempersiapkan diri bagi menghadapi Kejohanan Tour of Thailand yang berlangsung hujung bulan depan," kata pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Hariff Saleh selepas mengungguli kategori Road Bike Pro dalam TSS Criterium Challenge 2021, hari ini.

Beliau membawa pulang hadiah berupa pingat, wang tunai RM500 dan tiket penerbangan tajaan AirAsia selepas menewaskan rakan sepasukan, Wan Abdul Rahman Hamdan dan Irwandie Lakasek di tempat kedua dan ketiga.

Kejohanan anjuran bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Jabatan Belia dan tidak Negeri Terengganu (JBSNT), Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) dan TSS Cycling Club itu turut disertai seramai 500 pelumba dari pelosok tanah air.

Pengerusi penganjur, Mohd Rijaluddin Mohd Hamdan bersyukur kejohanan berkenaan akhirnya dapat dijayakan.

"Kejohanan ini sepatutnya berlangsung pada Februari lalu, tetapi ditangguhkan berikutan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Namun, Alhamdulillah kita menerima banyak penyertaan dan kami melihat potensi kejohanan ini dilaksanakan pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Turut hadir menyaksikan pelumbaan ialah YM Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan Pengarah Bukan Eksekutif Air Asia, Dato' Abdul Aziz Abu Bakar.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: