• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Harrif Salleh Kongsi Duit Menang Lumba Basikal Dengan Masyarakat

KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Jaguh pecut negara dan Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Saleh, menunaikan hasratnya berkongsi hadiah dimenanginya bersama orang ramai dengan cara tersendiri.

Atlet terkenal Terengganu itu memasak gulai ayam kampung bersama keluarganya untuk disedekahkan kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai bapa mentuanya di Jalan Panji Alam, hari ini.

Menurutnya, sejumlah RM2,000 hadiah yang dimenangi ketika muncul pelumba Malaysia pertama menjuarai perlumbaan di Eropah pada Februari dibelanjakan bagi menyediakan juadah itu.

"Sudah menjadi kebiasaan sebelum berlumba, saya memasang niat untuk bantu orang ramai sekadar termampu jika saya berjaya menduduki kedudukan podium atau lebih baik, muncul juara.

"Sebelum ini saya berkunjung rumah ke rumah memberi sumbangan berbentuk keperluan asas, tapi kali ini dengan wabak pandemik COVID-19 yang masih tidak menentu selain pelanggan tidak boleh makan di kedai, saya memilih untuk memasak sendiri gulai ayam kampung sambil dibantu keluarga," katanya.

Pelumba berusia 33 tahun yang lebih mesra dipanggil Mamat berkata, dia mengagihkan sebanyak 160 pek gulai ayam kampung sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokongnya selama ini.

Februari lalu, Harrif mencipta sejarah mengungguli Grand Prix (GP) Manavgat di Turki sekali gus menjadi pelumba tempatan pertama memenangi perlumbaan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di benua Eropah.

"Pencapaian di Turki adalah antara kenangan manis yang tidak dapat dilupakan dalam karier saya, lebih-lebih lagi kali pertama berlumba di Eropah terus membawa pulang kejayaan selepas tidak berkayuh selama setahun berikutan wabak COVID-19.

"Sekarang saya menumpukan latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan di Thailand nanti selain jika dipanggil mewakili negara pada temasya Sukan SEA di Vietnam hujung tahun ini," katanya.