• 19 Sept 2020 | 1 Safar 1442

Hasrat Jadikan Seni Silat Sukan Rakyat

Oleh: Rohayati Ripin

KUALA TERENGGANU, 6 September - Kerajaan negeri berhasrat menjadikan seni silat sebagai suatu aktiviti sukan yang diceburi oleh pelbagai peringkat umur rakyat di negeri ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali mengharapkan seni mempertahankan diri itu menjadi satu perkara yang penting dalam kehidupan anak-anak muda agar mereka tidak menghabiskan masa dengan perkara yang tidak berfaedah.

“Program seumpama ini adalah sebahagian daripada fokus kerajaan negeri untuk menaikkan seni silat sebagaimana bola sepak yang mana merupakan kegiatan sukan yang diminati semua peringkat umur.

“Saya sangat teruja melihat anak seusia empat tahun sudah pandai dalam dunia persilatan. Apabila  meningkat dewasa mereka akan menjadi benih-benih baharu yang akan mengorak langkah dalam dunia seni persilatan.

"Justeru ini adalah satu perkembangan yang sangat baik dan seharusnya diberikan penghargaan,” jelasnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Terengganu berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Kejohanan Silat Olahraga Tertutup Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia (PSSPGM) Cawangan Terengganu di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di sini kelmarin.

Turut hadir, Setiausaha PESAKA, Fakhrul Azman Abu Bakar dan Bendahari, Ukasyah Hassan.

Menurutnya, beliau yakin bahawa dunia persilatan menjadi salah satu produk pelancongan di negeri Terengganu dan merupakan warisan budaya bangsa yang mesti dipertahan dan dikembangkan.

“Kita bukan nak tunjuk 'gong' dalam seni silat pada orang tapi skil kemahiran yang ada sekurang-kurangnya dapat mempertahankan diri apabila menghadapi saat kecemasan seperti diserang musuh,” tambah Dato Yahaya.

 

 

 

 

 


Tag: