• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Hasrat Jadikan Terengganu 'Land Of Cycling' Mampu Dicapai

MARANG, 4 September - Kerajaan negeri optimis impian untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal mampu dicapai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, hasrat menjadikan Terengganu sebagai 'Land Of Cycling' merupakan sebagai sebahagian daripada promosi pelancongan negeri Terengganu.

"Di mana destinasi yang menjadi tempat atau hentian program sebagaimana yang diadakan hari ini (Tour Gateh D'Tranung) akan lebih memperkenalkan lagi lapan daerah iaitu dari Marang, Dungun, Kemaman , Hulu Terengganu sehingga ke Besut.

"Kita akan meneruskan program seperti hari ini bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mengangkat sukan basikal ini juga menjadikan Terengganu 'Negeri Kayuhan Basikal' akan mampu tercapai dan akan menjadi satu faktor pelancong dari dalam dan luar negara datang ke negeri ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelepasan Kejohanan Tour Gateh D'Tranung Peringkat 1, di Pulau Kekabu di sini hari ini.

Katanya hari ini sebanyak 27 pasukan hebat antara benua terlibat, serta penyertaan dari Singapura, Indonesia serta Brunei.

"Selain kita turut menerima peserta antarabangsa yang pada awalnya ingin turut menyertai namun membatalkan penyertaan pada saat akhir.

"Insya-Allah kita akan ulangi lagi pada tahun hadapan dengan menjadikan ia sebagai acara antarabangsa.

"Sebenarnya bagi menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal ia turut dibantu dengan reputasi Terengganu yang selama ini telah melahirkan ramai jaguh-jaguh dalam sukan basikal yang mencipta nama bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa," ujarnya lagi.