• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Hasrat Miliki Geran Tercapai Selepas 50 Tahun

HULU TERENGGANU, 11 Februari - Rasa terharu dan bersyukur, hanya itu mampu diluahkan oleh Minah Sulaiman, 77, apabila geran tanah yang di tunggu sejak 50 tahun akhirnya dalam genggaman.  

Namun katanya, rasa gembira itu diiringi hiba apabila mengenangkan arwah suaminya, Ismail Idris, yang meninggal dunia pada tahun 1996.  

"Alhamdulillah, makcik rasa syukur sangat, tapi dalam gembira tu banyak yang sedih sebab sepatutnya pakcik (arwah) yang menerimanya, bukan makcik. Itu yang rasa sebak sebab dia yang bertungkus lumus, sepatutnya dia yang dapat tapi makcik yang terima hari ini.


"Makcik nak ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan negeri kerana apa yang ditunggu-tunggu sudah kesampaian," katanya ketika ditemui pemberita selepas penyampaian surat hakmilik kepada 92 orang penerima di Dewan orang ramai Kampung Baru Sungai Binjai,semalam.  

Bagi seorang lagi peserta Rancangan Tanah Berkelompok(RTB), Rosnani Awang, 55, dia amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim kerana menunaikan impian mereka untuk memiliki geran tanah. 


Menurutnya, penat lelah peserta Rancangan Tanah Berkelompok(RTB), sejak kampung itu diteroka akhirnya berbaloi dan menganggapnya sebagai satu hadiah yang paling bermakna dalam hidupnya. 

"Kerajaan buat dah baik dah. Mereka jaga kita pun dengan baik. Terima kasih Kerajaan Negeri, terima kasih MB (Menteri Besar). 

"Hari ini akan menjadi satu sejarah dalam hidup saya dan saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan Menteri Terengganu kerana membantu menunaikan impian kami,"ujarnya lagi.

Sementara itu Maliaman berkata, sehingga hari ini kerajaan negeri telah berjaya merealisasikan janji dan manifesto dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sekali gus mengembalikan tanah-tanah terkilan selepas pemerintahan kerajaan tahun 2004.

"Kita seboleh-bolehnya akan cuba memastikan yang sebarang isu berkaitan dengan hak milik hartanah diselesaikan dengan kadar  segera. semua urusan berkaitan dengan hak milik tanah ini adalah perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit,"tambah beliau.