• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Hasrat Miliki Rumah, Tanah Jadi Kenyataan

KUALA TERENGGANU, 28 Mac - Impian dan hasrat rakyat Terengganu yang benar-benar memerlukan terlaksana satu persatu dengan pelbagai manifesto kerajaan negeri direalisasikan, antaranya termasuklah dengan pembahagian satu unit Rumah Mampu Milik (RMM) dan membuka permohonan tanah baharu dengan terus memberi geran kekal.

Seorang penerima, Muhammad Safwan Abidin, 28, dari Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun, menyifatkan rezekinya menerima kunci RMM sebagai hadiah yang tidak ternilai baginya kerana impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai.

"Saya terlalu gembira, tak sangka impian saya dan isteri menjadi kenyataan. Selepas berkahwin saya terus memohon. Pendapatan saya sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah tak menentu, alhamdulillah dengan pemberian kerajaan negeri ini akan banyak meringankan beban kami.

"Insya-Allah kami akan memanfaatkan rumah ini dengan sebaiknya sebagai tempat berteduh, bukan untuk disewa kepada orang lain sebagaimana kami diingatkan," ujarnya ceria ketika ditemui pada majlis pengundian lot dan penyerahan kunci RMM kepada 18 penerima di Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).

Ia termasuk projek perumahan membabitkan lima kawasan di RMM Perasing Jaya (3), RMM Teluk Kalong (4), RMM Batu 7 (3), RMM Paya Lawas (5) dan RMM Bukit Gasing (3).

Lebih menggembirakan, sebahagian rakyat Terengganu yang lain pula bertuah menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) daripada kerajaan negeri.

Seorang penerima, Rezali Mamat, 60, dari Kampung Lapang Jambu Laut (Jambu Bongkok), Marang, terharu setelah penantiannya selama berpuluh tahun untuk memiliki tanah sendiri juga berakhir.

Beliau yang berkhidmat dalam tentera selama 18 tahun menceritakan, inilah kali pertama sepanjang perkhidmatan beliau mendapat tanah kurnia daripada kerajaan negeri.

"Setelah pencen baru sekarang saya dapat. Sebelum ini selama berpuluh tahun saya menumpang rumah pusaka peninggalan keluarga.

"Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang benar-benar melaksanakan apa yang dijanjikan," katanya pada Majlis Penyerahan Hak Milik & Borang 5A RTB Jambu Bongkok di Balairaya Jambu Bongkok Darat, baru-baru ini.

Seramai kira-kira 42 penduduk Marang menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A RTB Jambu Bongkok di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dalam majlis tersebut.


Tag: