• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Hasrat Nelayan Miliki Tanah Akhirnya Tertunai

KEMAMAN, 16 Disember – “Umur sudah mencecah 66 tahun, saya yang tidak pernah dapat tanah, tetapi setelah tunggu lebih 20 tahun, alhamdullilah Kerajaan Negeri telah realisasikan hasrat ini,” luah seorang nelayan, Abd Ghani Ismail, setelah menerima Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Sivik, Kemasik, Kemaman, pagi tadi.

Abd Ghani atau lebih mesra disapa Pok Ya, berkata sangat menghargai usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan kerajaan Terengganu atas pemberian hak milik tanah tersebut.

“Sekarang saya tinggal di Kampung Baru Kiri, insya-Allah harapan supaya dimurahkan rezeki bagi mendirikan rumah ini memandangkan saya seorang nelayan, tapi sekali lagi saya nak berterima kasih kepada ADUN Kemasik dan Majlis Daerah Kemaman,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima dari Kampung Baru Kemasik, Suriyani Abdullah, 43, yang mewakili suaminya, Mat Zawan Muhammad, mengakui gembira dan tidak percaya kerana mendapat hak milik tanah sendiri.

“Inilah satu tanah pertama yang pernah dapat, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu.

“Selama ini pun tiada rumah tetap, tapi dengan tanah ini akhirnya dapat dirikan rumah sendiri. Hasil manifesto ini boleh dikatakan sebagai jadi sungguh,” ujar Suriyani yang juga ibu kepada empat orang anak.

Sementara itu, Saiful Azmi berkata, penghargaan diberikan kepada Pegawai Daerah dan seluruh kakitangan Pejabat Daerah atas usaha dalam memastikan hasrat kerajaan disempurnakan secepat mungkin.

“Kerajaan negeri telah menjanjikan 20 manifesto, sehingga sekarang sebahagian daripada 18 manifesto telah dilaksanakan atau sedang berjalan, usaha RTB ini adalah bukti proses merealisasikan sedang diteruskan.

“Bagi DUN Kemasik terdapat tujuh RTB bagi tapak kediaman, dan hari ini adalah RTB keenam yang dapat disempurnakan. Harapan supaya baki satu lagi akan dapat direalisaiskan pada suku pertama tahun hadapan," katanya ketika ditemubual pemberita.