• 22 Okt 2020 | 5 Rabiul Awal 1442

Hasrat Tunai Solat Subuh Berjemaah Tidak Kesampaian

SETIU, 19 Ogos – Hasrat seorang warga emas untuk menunaikan solat subuh berjemaah di surau tidak kesampaian selepas maut dirempuh sebuah van ketika menyeberang jalan di Kampung Renek.

Dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, mangsa, Mahyiddin Othman, seorang peniaga nasi ayam kampung berusia 73 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu van jenis Nissan Vanette yang juga merupakan peniaga dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu ke Jerteh.

“Apabila sampai di Jalan Kampung Jabi, tiba-tiba mangsa yang berjalan kaki melintas dari kanan ke kiri jalan.

“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu itu melanggar mangsa walaupun telah cuba mengelak,” katanya kepada media.

Abdul Rozak berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut in Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menzahirkan rasa simpati kepada seluruh ahli keluarga arwah atas kejadian yang berlaku. 

‘’Semoga Allah merahmati dan mengampuni Allahyarham yang meninggal dunia dalam perjalanan untuk ke rumah Allah. Takziah kepada seluruh keluarga dengan simpati yang mendalam dari kami,’’ ujarnya


Tag: