• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

HEBAT Sasar Kumpul 10,000 Anak Muda


KUALA TERENGGANU, 18 Februari- Kerajaan negeri melalui Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) menyasarkan untuk menghimpunkan seramai 10,000 golongan muda pada Himpunan Belia & Beliawanis Terengganu (HEBAT) yang akan berlangsung selama dua hari di Stadium Negeri bermula 22 Februari ini.

Pengarah i-MiTS, Kamaruzaman Abdullah berkata, program julung kali dianjurkan itu turut mendapat kerjasama Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Kelab Motosikal Alternative Riding Club (ARC), Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Pas dan Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (Hanees).

Katanya, selain sebagai tanda penghargaan terhadap golongan belia, HEBAT diadakan untuk membentuk kepimpinan dalam diri anak muda supaya lebih aktif dan inovatif menerusi pelbagai program disediakan.


“Elemen yang paling penting dalam sebuah komuniti atau masyarakat adalah tenaga anak muda yang disebut sebagai belia dan beliawanis.

“Objektif HEBAT adalah untuk menghimpunkan seramai mungkin belia dimana kita sasarkan untuk mengumpulkan antara 7,000 hingga 10,000 orang sepanjang program berlangsung.

“Malah HEBAT juga membuka ruang kepada anak muda untuk berinteraksi secara langsung bersama Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi slot bual bicara santai bersama menteri besar yang merupakan antara pengisian utama pada himpunan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara langsung dalam program Bicara Khas bersama TV Darul Iman di Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.

Menurut Kamaruzaman, pelbagai aktiviti menarik bakal diadakan sempena HEBAT termasuk pelancaran Terengganu Volunteer (T-Volt), sumbangan kepada penerima Anugerah Wira Darul Iman serta pelancaran HEBAT oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Selain pelbagai pertandingan yang dekat dengan hati anak muda seperti acara sukan, kesihatan, cabutan bertuah dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Tag: